Sunday, March 18, 2012

Mahasiswa dan idealisme.

Hidung tersumbat. Susah nak nafas. Sempit. Baru tahu nikmat kesihatan yang baik. Allahu rabbi~
Dua nikmat yang sering dilupakan adalah nikmat kesihatan dan waktu lapang.
Sesiapa yang mengaji di universiti biasanya selalu terkena penyakit lupa nikmat ni. Buat assignment last minit tatkala di awalnya berlengang-lengang. Bukankah biar kita bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian sudah diajar dari kecil?  Bukankah menangguh kerja itu menyebabkan perkara mudah menjadi susah, perkara sulit bertambah susah?! Berubahlah demi sebuah kehidupan yang lebih teratur~
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kali ini saya masih menulis mengenai 'Walk for Election' anjuran GMUKM pada 15 Mac lepas.  
Mengapa saya sertai dan mengapa aktiviti ini tidak perlu dihalang?

Saya sertai program ini, pertamanya kerana ingin merasai sendiri pengalaman turun padang terlibat sama dengan rakan mahasiswa lain mengetahui apakah yang ingin dibawa oleh GM dalam W4E tersebut.  Berdasarkan pidato-pidato yang disampaikan oleh beberapa orang mahasiswa GM sepanjang perarakan tersebut,  saya mendapati mereka menginginkan sebuah suasana pilihan raya kampus yang dipenuhi dengan politik keintelektualan.  Politik matang berasaskan nilai-nilai bersesuaian dengan status 'MAHASISWA'.  Bukan politik kotor, politik 'perut' dan membelakangkan hujah benar meletakkan hujah dangkal didepan.

Ini merupakan satu perkembangan baik untuk politik tanah air masa hadapan.  Jika kita perhati, di sekolah dan di universiti sendiri, pelbagai program kepimpinan dilaksanakan.  Nah, inilah ruang dan peluang yang ada di ruang lingkup politik kampus untuk mahasiswa yang berkeyakinan dan berketrampilan ke hadapan untuk mengasah bakat kepimpinan mereka.  Kita mampu menghasilkan mahasiswa yang cemerlang dalam peperiksaan, jangan kita gagal untuk melahirkan mahasiswa yang berkepimpinan hebat.  Membentuk pemimpin bukan sekadar bijak, tetapi mahir mengartikulasi idea, bergerak memobilasi pengikut untuk membentuk sebuah sistem yang elok.  Jika kita 'simpan' mahasiswa dalam dewan kuliah dan makmal-makmal semata-mata, sebenarnya kita sedang membentuk sebuah masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak akan cakna isu-isu masyarakat.  Mereka yang lantang suaranya menyatakan pendirian untuk mengetengahkan politik nilai, politik matang dalam politik kampus adalah mereka yang mempunyai idealisme.  Jika diluar sudah dibawa politik baru yang mengutamakan politik berasaskan integriti, pentadbiran yang bagus, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif.  Bagaimana mahasiswa tidak mahukan perkara yang elok seperti itu? Fikirkan.

Mahasiswa di UKM terutamanya mereka yang bergiat aktif dalam politik kampus sering mengadakan forum-forum isu-isu negara yang melibatkan mahasiswa. Tetapi sedikit sedih kerana ada pihak yang tidak menunjukkan sokongan apabila tidak hadir dalam jemputan forum dan debat.  Kita mahu melihat pimpinan mahasiswa sendiri berhujah. Mahasiswa ingin melihat sendiri idea-idea pimpinan dalam isu-isu nasional yang melibatkan kebajikan mahasiswa.  Mungkin atas beberapa sebab peribadi dan keadaan, banyak forum dan debat tidak mampu berjalan dengan sebaiknya.  Tidak mengapa.  Mengharapkan perubahan di masa akan datang.

Sekiranya mahasiswa tidak sedar akan tanggungjawab untuk mengundi, adakah mereka sedar untuk mengundi di Pilihan Raya Umum nanti? Sekiranya tiada pihak yang mengambil peranan untuk menyedarkan mereka tentang peri pentingnya politik yang baik, adakah mereka mampu membezakan politik yang ada sekarang dengan apa yang sepatutnya berlaku?  Aktiviti seperti ini tidak seharusnya dihalang.  Tidak sepatutnya dikecam.  Mereka tidak berniat jahat.  Mereka berjalan sekitar kawasan universiti, sama seperti mahasiswa mereka berjalan dalam universiti.  Mereka tidak mengganggu mahasiswa lain belajar.  Mereka tidak paksa mahasiswa lain menyertainya.  Ini adalah inisiatif mereka atas kapasiti kesedaran sosial terhadap hak mereka.

Mahasiswa cemerlang, mahasiswa yang cakna dan kembali kepada masyarakat dengan ilmunya. PENCERAHAN!





No comments:

Post a Comment