Saturday, March 31, 2012

bertemu kembali, berpisah lagi.

Sabtu! Hari Ketiduran!
(~.~)"
mengantuk sungguh la dari pagi tadi bawak ke petang...
Cuaca panas..kat luar la, kat dalam bilik ni ha, sejuk aje..

Dan hari ini, pertemuan kali kedua setelah 2 tahun berpisah. Haha terpisah di alam nyata, bertemu di alam maya,
itu pun jarang bertegur sapa.
Dayah Saad datang ke UKM untuk kali ke-2.  Pertama kali, semasa tahun 1 di ukm, tak ingat pulak tahunnya. 2009/2010.
Aku suka kawan dengan dia nih.. semua dia ada. lawak pun ya, kalau belajar, pandai pun ya, baik pun ya..gaya dia pun ya, dan aku suka dia bercerita. haha banyak aku belajar dari dia dulu masa time asasi.

Kali ni aku sempat nak jumpa dia bila dia dah nak balik je. huhu dah tu je masa yang ada. Nak buat lagu mana. Alhamdulillah, itu pertemuan ketentuan tuhan.  Lepas ni aku tak sure bila kemungkinan dapat jumpa, sebab aku dah nak meninggalkan dunia degree ni...
Berborak sekejap..dengar dayah bercerita, and what i feel is, oh my..how much i miss this girl. I miss asasi's time. Oh..how fast the time flies. Dan perkara di luar jangkaan, ada beberapa orang budak asasi lain, ingat muka aku. kehkehkeh.

Di saat berjumpa tu, bersalam berpeluk. Dan dayah bagi kad dia. Tu diaaa, dah jadi orang kuat dah! Aku dah tahu lama dah..sebelum dia bagi kad, just tahu post dia je.



Dan satu perkara yang membuat aku terkejut, terharu dan tak tahu nak cakap apa, dia bagi aku hadiah yang secara tiba-tiba..Dia tak tahu nak bagi apa, dia bagi aku butang tu..... on the spot dia tanggalkan dari beg dia. aku tak tahu nak cakap apa.. mungkin terharu aku terlebih sangat. Dayah, did i said thak you to you for this?
Dalam hati aku, ikhlas sungguh hati dia...ikhlas sangat. Moga Allah bagi yang lebih baik kepada kau sahabat. Lebih baik daripada yang Allah bagi kat aku. Terima kasih sahabat.

Friday, March 30, 2012

Come to mummy..

Hai!
Sehat?
Alhamdulillah..

Sebenarnya..tetiba rindu dengan...
ermmm...
sebenarnya..rindu dengan..
dengan...................
kucing-kucing kat rumah.

Tak tahulah apa kucing-kucing tu buat kat rumah.
Mesti ada je lawak bengong dan kejadian yang menyebabkan darah aku naik.
Tapi, salah mana pun kucing tu, aku tak sampai hati nak marah.
Kalau marah pun, "Haiippp! jangan!" " Kan dah cakap, jangan buat macam tu lagi!" " Eh, ni sapa ajar panjat dapur ni? cakap, sapa ajar, denda perintah berkurung nak? kalau tak nak turun!".
Macam tu je la aku marah...
Hai la..sayang beb dengan kucing..tak tahulah kenapa.
Tapi yang pasti, bila duduk dengan kucing ni, dia macam faham apa yang kau rasa, kau fikir. Aku cakap dengan kucing biasa dah... Sampai mak aku cakap, sudah, anak aku ni betul ke tak? How come mak said me like that =.=". redha.

Meh, aku tunjuk kucing kesayangan aku..

Lelo de manja.
Paling suka sekali kalau aku bentang tilam depan tb. Aku suka lepak depan tv. aku bentanglah tilam comel depan tb tu, kalau Lelo ada dekat-dekat scene tu, dia akan tinggalkan apa yang dia buat, tengah main kertas ke apa, dia akan lompat-lompat lari duduk atas tilam. seolah-olah sambil dia llompat-lompat tu dia cakap ni "yea yeay..ada tilam, boleh baring-baring, yeay!" aku tak sempat landing lagi, si Lelo dah ready kat tengah-tengah. haha Mula-mula baring jauh dari aku, agak-agak dia dah mengantuk, dia datang la kat aku, duk celah ketiak, suruh usap-usap dia. alahai..manja betul. Kadang-kadang, kalau takde tilam, dia duk kat tepi tangga, aku panggil la, "meh sini, nak tidur eh, meh duduk kat sini, come here" nanti dia datang la kat aku. Kalau malam pun tidur dengan aku...huhuhu lelo..lelo...dia fobia bunyi motor, sebab pernah eksiden dulu.


Ada banyak lagi..mak oreng, citam 1, menet, otel.
rest in peace: jubli, manis, nemo.
Hilang: keladak, putih,tom, kelabu, kenit, desa.

Tak rugi bela kucing, bela elok-elok, jangan bagi makan tulang, jangan sepak-sepak, nak marah cakap elok-elok kat kucing tu, lama-lama dia paham lah...tahu?


Tuesday, March 27, 2012

Dah bentang! Yeay..

Salam sejahtera, salam keamanan, salam selasa, salam segala macam salam. Yang wajib dijawab hanya ucapan salam Assalamualaikum!

Kabare? Ya waras...
Alhamdulillah.  Baru pulang dari tutorial. Kehadiran yang memuaskan.  Mula pun ontime.  Bagus.  Tapi kuliah pagi aku skip. Alasan: saya dah bangun, saya tidur balik, saya bangun balik, saya  tengok dah pukul 10.30. Saya cakap dalam hati, oh, i miss this class. Sambung tidur la jap. ;p

Lepas bangun, siap-siap semua...what a day hari ni pun tak tahulah...lepas mandi pergi tengok baju dah kering ke belum. Jemur semalam.  Lembab lagi. lembab betul nak hilangkan lembab tu. Haha. Muka seposen je nak masuk bilik. Tiba depan pintu, nak buka pintu tak boleh. It LOCKED! wei kunci tertinggal dalam bilik! Tetiba aku perasan, eh salah bilik, bilik aku yang sebelahnya. Hehehe sengih lepas tu masuk bilik.  Apa lagi, baju pasti digosok, tapi renyuknya susah nak hilang. Menyampah. =.="

Dah siap pakai tudung semua, tengok muka kat cermin dekat-dekat, (rabun, kabur lah kalau tengok dari jauh) (bukan aku tanya kat cermin tu, mirror on the wall, who is the most beautiful in the world?)(aku bukan gadis perasan dan terperasan sendiri). uih..awat muka aku pucat semacam. Dalam hati, mungkin kurang tidur dan lapar. Aku syak laaa.

Turun tangga aku nampak bas..waaaa tungguuuu!!!!! Aku rasa nak lompat je dari tingkat lima. Dulu lompat jauh aku tak lepas, mungkin kali ni lompat dari bangunan aku berjaya. haha Kau gila aku nak lompat. Turun tangga dengan lajunyaa...eyaaahhhh. Tiba bawah, eh bas tu belum gerak. Kat bus stop atas lagi. =.="

Tak pasal-pasal aku exercise secara tak sengaja. Bus sampai dan naiklah...apa tunggu. Kang kena tinggal menangis.  Pergi print slide pembentangan.  Jalan penuh keyakinan dan gaya. Hahaha *tu tipu.  Terserempak dengan budak-budak ni, oooo tika tak mai eh? sengih je la aku. Sampuk sorang lagi, tu dia muka baru bangun tidur. HAHAHA budak ni pakat gelakkan aku.. aku..(-,-)" haha sengih jer.

Lagi sekali aku menggelabah. Tak sangat lah..Tika kan cool, mana gelabah. Kan? Baik kau angguk.
Naik tingkat empat, bilik Hang Kasturi. Ada budak junior. Aku malas layan. Aku bukak pintu nak masuk bilik tu, aku tengok eh, kok ada budak lain nih. Adoi tutor ada ke tak nih. Aku nak present ni weiiiii. Argggghhh! How the place keep changing? Huh. Nasib aku jumpa bilik tutor baru. haha. Tiba turn aku present. Kejap je, bukan lama sangat pun. Sebab soalan tutorial terlalu umum dan dilihat tiada kepentingan dalam peperiksaan kecuali penambahan pengetahuan am. Siapa pandai, dia akan kaitkanlah dengan apa dia belajar. Simple as that. (",)v

Ni presentation last semester. Muna tengah present. aku dah siap.
Pensyarah yang sama. Dan hanya 3 orang sahaja pendengar.
 Cool budak-budak ni. HAHA

Siapa sangka, aku benci untuk bercakap di depan orang ramai sejak sekolah dulu.  Kalau ada kuiz dalam kelas, kuiz yang saja-saja, kalau dapat jawab cikgu bagi singgit, aku tak berani sebut jawapan aku. Diam membisu keras membatu. Aku dengar je budak-budak ni memberi jawapan. Sekali, bukan banyak kali, jawapan yang aku teka tu betul. Padan muka, melepas kan hadiah? Senyap lagi. senyap tak bertempat.  Sejak zaman Asasi, aku mula bercakap, berhujah. Tetapi masih lagi kurang. Banyak aku menulis daripada berkata-kata. Menulis boleh disemak semula, kata-kata in prompt to. Hanya yang ada ilmu sahaja layak begitu. Aku ilmu tak cukup, Atau kurang keyakinan. Satu cabaran =)

Bentang sudah, esei pula. Thesis? Wuaaarggghhh! Mengantuk.

Sunday, March 25, 2012

Kudus Sinarmu

Usah ditanya di hamparan mana
Tika terlena melata berkelana
Sesayup angkasa pun pergi
Selembah turuni
Di mana berdiri
Mata tutup tak berhati

Bagai bahtera kemudi diuji
Garis tertentang imbanglah haluannya
Berulang renung lapis langit
Nipisnya ragaku
Bukalah kelopak kudus sinarmu

Dia kekasih kasihnya memutih
Dia tercinta hadirnya tiap tika
Luhurnya teguh paut hati berkata
Sanubari idam pelukannya

Bagai bertemu rahsia
Penawar gelita
Hadir dalam damai titis... siramnya
Sinar kealpaan bak pelangi
Indah penuh warna
Dusta noda mata

Jika selaut cinta
Tulislah kalimatnya
Pastikan surut
Meski selaut jua

Serlah cendala jiwa
Insankan seharusnya
Jaharkan syahdu
Detik sesaat itu

Bagai satu cerita
Tafsirlah sebaliknya
Cuba mencari makna
Apakah hakikatnya


Tuhan, dosaku menggunung tinggi, kau berikan aku nikmat yang tiada ternilai. Aku yang menzalimi diri sendiri. Tuhan, aku tahu Kau Maha Esa. Aku tahu Kau Penciptaku, dan aku tahu, aku akan kembali padaMu. 



~allahuma aku terjaga olehmu dalam nikmat, afiat dan terjaganya dosa-dosaku, maka sempurnakan nikmatMu, afiatMu dan penjagaanMu atasku, di dunia dan akhirat. Tiada apa aku mampu lakukan tanpaMu Ya Rabbi~

Thursday, March 22, 2012

Remuk

Hari ini aku di sini.
Tak aku jangka.
Bukan aku peramal.
Kerana sangka aku 
berbeda.

Dulu,
Aku kira hidup ini mudah.
Hanya belajar sampai menara gading.
Kau sudah berjaya.

Nyata,
itu ilusi aku semata.
Menipu minda sendiri
menerima hakikat alam dunia
zaman ini.

Jauh aku renung.
Seperti..
Tiada pengakhiran kehidupan.
Kerana untuk hidup..
perlunya kekuatan infiniti.

Sesekali,
aku mengeluh.
Terduduk di ruang kesibukan.
Mecari persoalan hakiki.
Masih belum mencari jawapan.
Kerana aku masih meraba
mencari apa itu kehidupan.

Sukar.
Menerima hakikat yang sedih.
Gagal itu parah.
Perit.
Sakit.
Seksa.
Simpan di bilik hati.
Kunci.
Akhirnya,
aku sendiri bisu tanpa hati.

Percaya pada Allah!


Sunday, March 18, 2012

Mahasiswa dan idealisme.

Hidung tersumbat. Susah nak nafas. Sempit. Baru tahu nikmat kesihatan yang baik. Allahu rabbi~
Dua nikmat yang sering dilupakan adalah nikmat kesihatan dan waktu lapang.
Sesiapa yang mengaji di universiti biasanya selalu terkena penyakit lupa nikmat ni. Buat assignment last minit tatkala di awalnya berlengang-lengang. Bukankah biar kita bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian sudah diajar dari kecil?  Bukankah menangguh kerja itu menyebabkan perkara mudah menjadi susah, perkara sulit bertambah susah?! Berubahlah demi sebuah kehidupan yang lebih teratur~
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kali ini saya masih menulis mengenai 'Walk for Election' anjuran GMUKM pada 15 Mac lepas.  
Mengapa saya sertai dan mengapa aktiviti ini tidak perlu dihalang?

Saya sertai program ini, pertamanya kerana ingin merasai sendiri pengalaman turun padang terlibat sama dengan rakan mahasiswa lain mengetahui apakah yang ingin dibawa oleh GM dalam W4E tersebut.  Berdasarkan pidato-pidato yang disampaikan oleh beberapa orang mahasiswa GM sepanjang perarakan tersebut,  saya mendapati mereka menginginkan sebuah suasana pilihan raya kampus yang dipenuhi dengan politik keintelektualan.  Politik matang berasaskan nilai-nilai bersesuaian dengan status 'MAHASISWA'.  Bukan politik kotor, politik 'perut' dan membelakangkan hujah benar meletakkan hujah dangkal didepan.

Ini merupakan satu perkembangan baik untuk politik tanah air masa hadapan.  Jika kita perhati, di sekolah dan di universiti sendiri, pelbagai program kepimpinan dilaksanakan.  Nah, inilah ruang dan peluang yang ada di ruang lingkup politik kampus untuk mahasiswa yang berkeyakinan dan berketrampilan ke hadapan untuk mengasah bakat kepimpinan mereka.  Kita mampu menghasilkan mahasiswa yang cemerlang dalam peperiksaan, jangan kita gagal untuk melahirkan mahasiswa yang berkepimpinan hebat.  Membentuk pemimpin bukan sekadar bijak, tetapi mahir mengartikulasi idea, bergerak memobilasi pengikut untuk membentuk sebuah sistem yang elok.  Jika kita 'simpan' mahasiswa dalam dewan kuliah dan makmal-makmal semata-mata, sebenarnya kita sedang membentuk sebuah masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak akan cakna isu-isu masyarakat.  Mereka yang lantang suaranya menyatakan pendirian untuk mengetengahkan politik nilai, politik matang dalam politik kampus adalah mereka yang mempunyai idealisme.  Jika diluar sudah dibawa politik baru yang mengutamakan politik berasaskan integriti, pentadbiran yang bagus, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif.  Bagaimana mahasiswa tidak mahukan perkara yang elok seperti itu? Fikirkan.

Mahasiswa di UKM terutamanya mereka yang bergiat aktif dalam politik kampus sering mengadakan forum-forum isu-isu negara yang melibatkan mahasiswa. Tetapi sedikit sedih kerana ada pihak yang tidak menunjukkan sokongan apabila tidak hadir dalam jemputan forum dan debat.  Kita mahu melihat pimpinan mahasiswa sendiri berhujah. Mahasiswa ingin melihat sendiri idea-idea pimpinan dalam isu-isu nasional yang melibatkan kebajikan mahasiswa.  Mungkin atas beberapa sebab peribadi dan keadaan, banyak forum dan debat tidak mampu berjalan dengan sebaiknya.  Tidak mengapa.  Mengharapkan perubahan di masa akan datang.

Sekiranya mahasiswa tidak sedar akan tanggungjawab untuk mengundi, adakah mereka sedar untuk mengundi di Pilihan Raya Umum nanti? Sekiranya tiada pihak yang mengambil peranan untuk menyedarkan mereka tentang peri pentingnya politik yang baik, adakah mereka mampu membezakan politik yang ada sekarang dengan apa yang sepatutnya berlaku?  Aktiviti seperti ini tidak seharusnya dihalang.  Tidak sepatutnya dikecam.  Mereka tidak berniat jahat.  Mereka berjalan sekitar kawasan universiti, sama seperti mahasiswa mereka berjalan dalam universiti.  Mereka tidak mengganggu mahasiswa lain belajar.  Mereka tidak paksa mahasiswa lain menyertainya.  Ini adalah inisiatif mereka atas kapasiti kesedaran sosial terhadap hak mereka.

Mahasiswa cemerlang, mahasiswa yang cakna dan kembali kepada masyarakat dengan ilmunya. PENCERAHAN!





Wednesday, March 14, 2012

Fahamkanlah kami!

Dangggg...
Pilihan Raya Kampus kembali.
Tapi..kejap.
Macam tak ada apa-apa pulak aku tengok kat UKM ni.  Dah dekat dah nak PRK.
Come On, guys! Mana suasana PRK?
No demo this year. Kuikuikui.
Or not yet? Let us wait and see yea.

Di UKM,  ada dua pihak; Gabungan Mahasiswa (GM) dan Aspirasi. Ungu lawan Biru.
3 tahun di UKM mencatatkan pengalaman berbeza.  Aku bukan aktivis mana-mana pihak. Tetapi aku ada pihak yang aku sokong dan lebihnya aku hanya memerhati dari jauh kedua-dua pihak ini bergerak.

2010, mencatatkan kemenangan bagi GM. Tahniah~Doa wahdah bergema disaat kemenangan diumumkan.

Kini,  hampir tamat perkhidmatan Pimpinan yang telah dipilih.  Maka,  diambang PRK.  Aku teruja.  Ingin melihat gelagat adik-adik aku di UKM ni.

Sahabat aku seorang orang kuat GM.  Seorang rakan sekuliah, wakil pimpinan Aspirasi.  Menarik bukan.  Dua pihak berlawanan dalam satu kuliah. Bisa saja aku nilai pandang dunia mereka berdua.  Penting, sebagai mahasiswa Sains Politik, kami melihat hujah berasaskan fakta. bukan isu A, kita berhujah pasal B.  Fokus ye. sila fokus isu.

Nah, bila tiba diambang PRK, aku ketemukan satu risalah. Merata diletak risalah tu. Aku pun dengan rajinnya membacanya.  Inti risalah tu:  Baik GM mahupun ASPIRASI, dua-dua sama, tidak menunaikan apa yang dijanjikan kepada mahasiswa, mereka sama saja seperti ahli politik diluar sana yang hanya pandai besarkan perut.  Peranan PMUKM itu sudah tidak ada lagi katanya...Selepas membacanya..aku tersenyum. bukan, aku sengeh. ngeh ngeh.

Mahasiswa, suatu ketika dahulu, dipandang tinggi.  Sekarang, mahasiswa dilabel sebagai anak muda yang mentah, tidak matang, nasib tak berapa baik, dilabel bodoh dan bangang. Kalau ada, sila 'pangggg!' muka yang cakap tu.  Tak baik cakap orang bodoh. Dan tak baik juga melempang orang. Haahaha

GM dilabel pihak oposisi gerakan yang suka berdemonstrasi.  Ya, aku pernah join. cool jugak demo nih. haha Hanya untuk pengalaman.  Bagi mereka yang tidak pernah ambil pusing, mereka tidak akan faham kenapa perlu sampai berdemo. Ada masa, pergi borak dengan hard core atau aktivis GM.  Tak semua isu ada demo.

Ya, dalam sebuah masyarakat, akan ada pihak yang muak dengan politik. bagi mereka, tidak ubah apa-apa.  Aku ingin mengingatkan kalian,  dalam politik kampus, adalah satu contoh terkecil untuk menggambarkan keadaan diluar.  Di kampus, perwakilan dipilih bukan untuk mengubah dasar universiti.  Di universiti, kita memilih perwakilan untuk membantu mahasiswa menyalurkan keperluan pelajar yang tercicir dipandang oleh pihak pentadbir.  Selain itu,  sebarang idea yang mengangkat mahasiswa secara intelektual adalah sangat dialukan dan perkara boleh diajukan kepada pimpinan mahasiswa dan dibincangkan kemudiaanya bersama pentadbiran.

Dan sekarang, GM mengambil langkah baik, aku mengalu-alukan tindakan tersebut. Mengadakan 'Walk for Election, 2012'.  Bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa mengenai PRK yang merupakan sebahagian hak mereka.  Perlunya PRK berjalan dengan adil dan telus.  Membina politik nilai, bukannya politik sempit.  Jika mahasiswa sudah sedar diperingkat kampus, tidak sukar untuk mereka memahami politik luar.  Mahasiswa tidak boleh mengasingkan diri daripada masyarakat.  Akhirnya nanti, mahasiswa perlu bercampur dengan masyarakat.  Jika tidak ambil tahu ketika di kampus, bagaimana hendak kembali kepada masyarakat. Mahasiswa ini nanti yang akan menjadi pemimpin masyarakat kelak.  Jangan dibelenggu mereka dengan undang-undang tak mencambahkan pemikiran. Jangan jumudkan mereka. Nak bersuara takut.  Fahamkan mereka dengan asas bernegara kita.  Fahamkan mereka dengan asas hubungan antara kaum. Fahamkan mereka dengan matlamat bernegara.  Fahamkan mereka dengan realiti.  Fahamkan mereka dengan perpaduan.  Bukan takutkan mereka dengan perkauman. Bukan sempitkan otak mereka dengan kegagalan.  Bukan jumudkan mereka dengan undang-undang yang mereka tidak faham.  Terangkan, fahamkan, aku yakin mahasiswa Malaysia, sayangkan negara ini. Kami lahir di sini, ini tanah air kami. Kami tidak ada negara lain.  Jangan dihenyak kami dengan sentimen perkauman. Kami ingin melihat Malaysia yang lebih baik untuk anak-anak kami kelak.

Berbalik PRK,  kepada pihak yang merasakan pimpinan yang dipilih tidak membawa perubahan, gugurkan mereka pada prk akan datang. Gantikan dengan yang lebih elok.  Dan, anda perlu ke depan, bertemu mereka, cadangkan kepada mereka nanti yang terpilih, apa yang anda fikir mampu mengangkat keintelektualan mahasiswa UKM selain daripada membuat konsert dan forum.  Anda tak puas hati, kemukan idea, bincang, rancang, lakukan. bukan meletakkan posrter bersepah.

Sama juga seperti politik di luar.  Kita ada satu negara sahaja. Parti politik boleh berubah. bertukar ganti.  Pilih yang terbaik. Yang boleh mentadbir urus negara dengan baik. Rakyat terbela. Bukan kroni terbela, kroni kaya, rakyat di kampung rumah tiada.

Aristotle dalam buku 'Book on Politic' menyatakan negara ibarat kebun, pagarnya adalah kerajaan.  Kerajaan adalah kekuasaan yang dikawal tingkah laku sopan. Gelagat baik adalah dasar yang diatur pemimpin.  Pemimpin adalah institusi yang diperkuatkan tentera,  rakyat adalah pembantu yang diselenggara dengan wang. wang adalah kekuatan yang dikumpul oleh rakyat. rakyat hanya dilindungi keadilan.  keadilan adalah sesuatu yang akrab dan melahirkan kehidupan bernegara.

Kita mungkin tidak merasa himpitan hidup,  mari kita jenguk mereka yang tersepit di dunia ini.
Berubahlah, kita mahukan yang terbaik untuk kini dan masa akan datang~

Saturday, March 10, 2012

Sabtu yang bosan. Erk.

Baru naik taip tadi, telefon berbunyi. Mak telefon daaa..
Bagitahu anak jiran sebelah tu nikah dah, majlis kat rumah dia esok.
Ooooo...ye ke.. tu je aku jawab. hahaha Ramai sungguh la orang yang aku kenal mendirikan rumah dan tangga masing-masing. Jodoh dah sampai...Kunfayakun! Bersatulah antara adam dan hawa... maka terdirilah mahligai cinta dinamakan keluarga. Hik hik hik...cakap bab kahwin je, orang cakap aku gatal.  Tulis status fb pun nak berbunga-bunga ala-ala orang dah kena risik. hahaha that's me. like to expound some issues by my own way.  By the way,  as a girl, you have to make sure you know at least basic about life as a wife and family. it is a conspicuous situation between being a daughter or friend. hewhewhew =)
_________________________________________________________________________________


ermmm... bosan sungguh di hari sabtu yang mendung dan damai ini...padahal banyak je kan kerja atas meja ni, list in nyer menimbun-nimbun, sampai hilang buku planning aku tuh, list out nyer oooh ciput pun tarak. aiyaarkkkkkkk! manyak teruk ini budak! Macam mana mahu maju? Haa. jawab! jawab! cik tipah. Sapa tipah? Entah. Abaikan...


Oohh.. teringat si nemo a.k.a kucing ratu di rumah... dia sudah pergi... Kau pergiiii........iiii...iiii..pergi... Setelah  dilanggar lari oleh penunggang motorsikal yang tidak berhemah, ku yakin takdak lesen budak tu. Oii geram sungguh aku nih. Kalau la boleh, dapat budak tu, kasi berderai sama dia, at least lu patah la balik, cakap sorry sama akak gua tuh. Eh, ni kang makan nyer.. nampak ni apa? PENAMPOR!
*sabar sabar sabar


Pergilah kau nemo, ku relakan,,kami sekeluarga merindui mu.. sob sob sob.. nemo tiada penggantinya...


Setakat ni la...mula-mula bela Manis, manis mati termakan rumput racun,  kemudian bela Jubli, mati kerana sakit,  kemudian bela Nemo, mati dilanggar motor.. ohhh my Allah, we loved them. we like greatly toward them.. oh..its so grievous. They bring blissful to us. How cute they are. Miss them so much.  i'm a cat lover.

Tuesday, March 6, 2012

~smile~

Hari-hari kita senyum,
Kerana kita bahagia.
Hari-hari kita ketawa,
kerana kita gembira.

Tapi bila kita didesak masalah,
Kita berkerut dahi,
Bermasam muka,
Seperti tiada mudah dugaan itu.

Kita lupa saat gembira 
bila kita ada masalah,
Kita lupa indahnya bahagia
bila kita diduga...

Hidup ini penuh dugaan, pandanglah dugaan itu anugerah. Kurniaan tuhan untuk menjadikan kita manusia yang lebih sempurna sebelumnya.  


Saturday, March 3, 2012

Jujur nak tolong.

Awan yang mendung.
Mata yang kuyu,
Badan yang lesu,
Otak yang letih,
Kerja yang bertambah.
Itu normal dalam kehidupan.
hehehe.

Saat ini 'stuck' untuk menulis thesis.
Saat ini terkenang memori lepas.
Yang lepas memang dikenang,
Kalau masa depan, direnung, dirancang.
*********************************************************************************
Masa cuti sem lepas, dua tiga hari selepas balik daripada ukm, masih dalam keadaan merehatkan otak.  Lepas exam, otak seakan jadi beku, tak boleh untuk berfikir yang berat-berat. Entah kenapa. Tak tahu.  Sedang berehat, menonton berita TV3 sambil mulut aku bising melawan apa yang disampaikan,  anak saudara aku cakap, "nak buat kerja sekolah la".. sambil endah tak endah, aku jawab, "buatlah, nanti tak siap, kena marah cikgu, ibu bising nanti." Terus baring-baring merehatkan minda. Sambung anak saudara aku, "jomlah buat kerja sekolah"..aku angkat kening sambil tengok muka dia sambil aku pun buat mimik muka. "Acik mana ada kerja sekolah..." "jomlah acik..." merayu anak saudara aku. Mengalah, aku pergi ambil bahan thesis dan baca.  Excited dia. Ada orang buat sekali kerja sekolah. Dia keluarkan semua buku sekolah dia.  Tunjukkan satu persatu kat aku. tadi dia ajak aku buat kerja, la ni dia ajak aku tengok buku dia pulak.  Layan.  Dia tunjukkan mana yang cikgu puji dia. Hahaha..ada udang di sebalik sawi.  Aku pun cakap congrats and keep up your hard work. You will gonna be better than me.  Aku sambung buat thesis.  Tak lama tu, dia tengah buat latihan BI, dia tanya, acik buat kerja apa?. Apa nak cakap ni ek.."acik buat esei.." nak bagi senang faham.  Anak saudara aku sambung lagi, "kita suka buat esei. best. Acik buat kan kerja kita, kita buatkan esei acik." Aku dalam keadaan blur masa tu. Ni bukan esei upsr laaaa...ni thesis acik.  Apa pun, mak saudara ni hargai usaha budak tingkatan 1 nak buatkan thesis ni. haha semalam, dia tanya aku balik bila...aha, rindu la tu!